HAMIM dan perkembangannya Parti_Hizbul_Muslimin_Malaysia

Selepas Datuk Asri dan kumpulannya gagal dalam usaha untuk membubarkan HAMIM dalam muktamar khas, beliau akhirnya bersama kumpulannya (termasuk ahli parlimen Bachok dan Adun Chetok) telah meletak jawatan dan keluar daripada HAMIM pada 17 Nov 1988. Dengan perletakan jawatan oleh Datuk Asri itu maka jawatan Presiden HAMIM dipangku oleh Tuan Haji Abdul Wahab Yunus (Mantan MP Dungun) dari Terengganu manakala jawatan Timbalan Presiden dipangku oleh Dato Hj Sudin B. Wahab (Mantan Adun Langgar-Limbung) dari Kedah. Dalam Muktamar HAMIM pada tahun 1989 berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden hinggalah ke jawatan MPP, di mana jawatan Presiden dimenangi oleh Dato Hj Sudin bin Wahab dan jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi oleh Dato Nik Man bin Nik Mohamad dari Kelantan.

Selepas kalah dalam pertandingan bagi jawatan Presiden HAMIM maka Tn Hj Abd Wahab Yunus mengambil keputusan bersama kumpulannya untuk keluar daripada HAMIM dan seterusnya pada 1990 menubuhkan parti baru Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) di mana akhirnya pada 1999 diubah menjadi Parti Keadilan Nasional (KeADILan) pada masa berlakunya gelombang Gerakan Reformasi di Malaysia.